Sunday, March 09, 2008

Tsunami Perubahan Politik di Malaysia: Tahniah Semua Rakyat Malaysia

Alhamdulillah, Pilihanraya Umum ke-12 Malaysia berjalan dengan baik pada keseluruhannya pada 8 Mac 2008 semalam. Selain insiden di Rusila (Marang, Terengganu), rakyat Malaysia keluar mengundi dengan aman, dan berdasarkan analisis, "Pengundi yang keluar mengundi seperti sudah yakin dengan calon pilihan mereka".

Walaupun berada jauh di perantauan, Alhamdulillah, akses ke media utama seperti Utusan, TV3 dan TV1, dan media alternatif seperti MalaysiaKini, Malaysia-Today selain halaman berita parti politik seperti HarakahDaily dan DAP memberikan peluang kpd saya utk sama-sama mengikuti perkembangan di Malaysia.

Sebelum pilihanraya, walaupun media utama menyifatkan bahawa BN mampu menang mudah 2/3 majoriti parlimen dan memegang semua Kelantan, namun media alternatif rata-rata yakin bahawa perkara sebaliknya akan berlaku. Rakan-rakan rakyat Malaysia di Jepun yang terdiri drpd kalangan pelajar dan pekerja juga banyak meramalkan perkara yang sama dan menganggap pilihanraya kali ini adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian. Saya dan beberapa sahabat lain mengikuti pengumuman keputusan pilihanraya di TV3 dan MalaysiaKini sepanjang malam semalam sehingga ke Subuh pagi tadi.

Alhamdulillah, seperti yang diramalkan semua, Barisan Rakyat/ Alternatif berjaya mengaut kemenangan yang sangat besar, menjadikan Barisan Nasional kalah besar, dengan keputusan paling buruk sejak kemerdekaan 50 tahun lalu. BN bukan sahaja gagal mendapat 2/3 parlimen, malah gagal mendapat majoriti di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak. Walaubagaimanapun, BN berjaya mengekalkan penguasaannya die Terengganu. Johor yang merupakan kubu kuat BN juga sudah berjaya dipecahkan oleh pembangkang yang berjaya menawan 6 kerusi (negeri dan parlimen). Setakat blog ini ditulis, PAS mengekalkan kerajaannya di Kelantan, DAP dan PKR bersetuju untuk menubuhkan kerajaan di Pulau Pinang, PKR dan PAS bersetuju di Kedah, dan campuran ketiga-tiga parti PKR, DAP dan PAS di Selangor dan Perak. (*Maklumat ini mungkin berubah selepas ini bergantung kpd pakatan dan usaha-sama setiap parti yang menang).

Sebagai seorang yang berpandangan independent, saya melihat punca kekalahan BN adalah seperti berikut:
1. Pembatalan dakwat kekal pada jari/kuku pada hari yang sangat dekat dengan pilihanraya menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan yang sepatutnya menjaga hak rakyat dan proses demokrasi negara.
2. Sikap angkuh dan dolak-dalih pengarah SPR pada semua sidang media beliau menyebabkan rakyat muak dengan kepimpinan negara.
3. Kewujudan budak hingusan Khairy Jamaludin (KJ) dalam politik Malaysia yang naik dengan tiket Abdullah Badawi, yang banyak mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.
4. Kepimpinan yang SANGAT LEMAH dari Abdullah Badawi sendiri menyebabkan rakyat bukan sahaja hilang keyakinan kepada kerajaan, malah risau dengan hala-tuju dan masa depan negara Malaysia.
5. Teguran dari mantan perdana menteri Tun Mahathir sendiri terhadap pentadbiran Abdullah membuktikan kelemahan kerajaan beliau, dan merupakan faktor penting perubahan pemikiran rakyat Malaysia secara umumnya.
6. Dasar kerajaan Abdullah yang bukan sahaja tidak konsisten, malah dilihat sebagai membahayakan masa depan Malaysia sendiri. Pembatalan "jambatan-bengkok" di Selat Tebrau ketika dalam pembinaan, dan pewujudan WPI di Selatan Johor yang memberikan banyak faedah kepada Singapura disamping menidakkan hak Malaysia. Rakyat Malaysia juga dilihat seperti deperbodohkan dalam semua pengumuman kerajaan berhubung "jambatan-bengkok" di Selat Tebrau.
7. Kegagalan Abdullah Badawi mengawal harga petrol dengan bijak, sehingga menyebabkan kenaikan harga barang keperluan lain.
8. Kerajaan pimpinan Abdullah Badawi cuba menipu rakyat Malaysia bahawa ekonomi Malaysia berada pada keadaan yang baik dengan menjadikan Indeks Komposit BSKL, kekuatan Ringgit, dan KDNK/GDP sebagai pengukur. Walhal, hampir semua rakyat Malaysia yang bertarung dalam dunia perniagaan sedar bahawa ekonomi Malaysia bukanlah pada tahap yang baik. Kadar inflasi Malaysia tidak pernah dijadikan berita di mana-mana media utama tempatan. Rakyat Malaysia yang tahu membaca dan sedar, faham bahawa kekuatan Ringgit dan kenaikan BSKL adalah disebabkan kemasukan dana pelaburan asing ke pasaran Malaysia akibat jangkaan kemerosotan ekonomi Amerika Syarikat (USA) yg menyebabkan syarikat pelaburan dan fund di seluruh dunia beralih ke Asia, bukanlah dijana daripada dalam negara. Media tempatan tidak pernah membuat perbandingan akonomi Malaysia dengan negara jirannya seperti Singapura dan Thailand, yang mempunyai pertumbuhan yang lebih baik hasil kemasukan dana asing ke Asia.
9. Perpindahan banyak syarikat multi-nasional dari Malaysia ke China membuktikan Abdullah gagal menjadikan Malaysia sebagai pasaran yang dinamik jika dilihat secara global.
10. Skandal membabitkan Koh Tsu Koon dan Motorola membuktikan kerajaan Barisan Nasional cuba menipu dan memperbodohkan rakyat Malaysia. DAP yang memainkan isu ini menyebabkan banyak undi di Pulau Pinang memihak kepada mereka.
11. Tahap keselamatan di bandar besar seluruh negara yang semakin buruk dan kegagalan kerajaan menagani perkara ini. Banyak kes bunuh dan rogol gagal deselesaikan PDRM. Kes di kalangan kanak-kanak menjadikan rakyat Malaysia risau dengan masa depan anak mereka.
12. Gejala sosial yang semakin buruk di kalangan remaja Malaysia, yang gagal ditangani BN. Pemuda BN sendiri dicop sebagai mat rempit (mungkin KJ adalah ketuanya) oleh pembangkang. Ini menyebabkan pengundi 'lari' drpd BN.
13. Kewujudan media alternatif yang banyak seperti MalaysiaKini dan Malaysia-Today, disamping blog-blog seperti JeffOoi yang banyak mendedahkan kelemahan kerajaan.
14. Media utama yang dikuasai BN gagal memberikan penjelasan mayakinkan berhubung banyak isu yang diutarakan pembangkang dan media alternatif.
15. Kebanjiran begitu banyak golongan pengundi muda yang celik IT, yang sebenarnya lebih bijak kerana golongan ini akan membandingkan laporan berita media utama tempatan dengan laporan di internet, selain media antarabangsa.
16. Sikap kerajaan pimpinan Abdullah Badawi yang tidak menunjukkan perubahan, walaupun banyak diasak oleh pembangkang dan rakyat Malaysia secara umumnya.
17. Kronisme semakin berleluasa. Lebih buruk lagi, politik kekeluargaan di bawah pimpinan Abdullah mengecewakan rakyat.
18. Kerajaan Abdullah gagal mendengar luahan bangsa India melalui HINDRAF. Sebaliknya, HINDRAF dianggap sebagai gerakan teroris. Keadaan ini menghampakan kaum India, dan digunakan sepenuhnya oleh pembangkang menyebabkan pengundi India dan Cina lari kepada pembangkang.
19. MCA, MIC dan Gerakan yang merupakan parti komponen BN gagal menyuarakan suara bangsa Cina dan India di parlimen. Ini menyebabkan mereka beralih kepada DAP dan PKR yang dilihat lebih meyakinkan dan berkaliber.
.... dan seterusnya.

Tahniah Barisan Rakyat/ Alternatif. BN perlu berubah untuk memenangi kembali hati rakyat terutamanya golongan muda yang bakal memimpin Malaysia. Sekian.

No comments: